;

Khamis, 5 Mac 2009

UJIAN ILAHI

Humaira suatu ketika sedang lena tidur selepas hisap susu


Aksi yang mencuit hati sebelum mengalami hari-hari mendapat gangguan jin

Bersyukur ke hadrat Illahi Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad saw dan ahli keluarga, sahabat-sahabat Baginda.
Pernah dalam artikel yang lepas ingin saya kongsikan pengalaman merawat gangguan makhluk halus. Pohonan maaf dipinta kerana hingga ke hari ini belum lagi saya menceritakan. Walaubagaimanapun, kali ini saya ingin berkongsi bersama tentang anak sulung perempuan saya Humaira Asyikin yang dijangka mendapat gangguan makhluk halus. Tentang cerita merawat lain sebelumnya, insyaAllah akan diceritakan kemudian seandainya ada kesempatan.

Sudah saya menjangkakan bahawa akan ada ujian daripada Allah swt. apabila kita mempelajari ilmuNya berkaitan alam jin ini. Apa yang ingin dikongsikan di sini ialah tentang cara gangguan dan ikhtiar merawat gangguan jin terhadap anak kecil berumur sebulan ini.

Apa yang pasti anak saya mendapat gangguan pada waktu tengah malam sekitar jam 12.00 tengah malam hingga ke waktu subuh. Sehingga membuatkan ibubapa dan neneknya tidak dapat tidur sampai ke pagi. Bila diselidiki, gangguan ini bermula apabila anak ini "luruh tali pusat".

Gangguan yang dialaminya ialah seperti :

1. Makhluk ini tidak membenarkan bayi ini menghisap susu ibunya. Walaupun diberi susu, semacam ada yang mengacau, menarik kaki bayi ketika dia ingin menyusu dan menyebabkan dia menangis kerana tidak senang untuk menyusu.

2. Mata bayi mengantuk, tetapi tidak dapat tidur.



3. Matanya sentiasa melihat ke atas, ke kanan dan ke kiri seperti melihat kelibat sesuatu.

Puas ibu dan neneknya menyelidiki punca bayi ini menangis. Walaupun ditukar lampin baru dan menyapu ubat kembung perut takut-takut anak ini menangis kerana rimas dan kembung. Tetapi dia tetap menangis dan menangis (macam cerita P.Ramlee Ahmad Al-bab).

Sekarang ini gangguan semakin hebat. Kalau dulu, dia mendapat gangguan pada waktu malam, tapi kini pada waktu siang pun mendapat gangguan.

Saya sebagai ayahnya mula berikhtiar untuk merawat anak sulung ini. Rawatan seperti :

1. Menghalau "Ummu Sibyan"jin yang suka membuat bayi menangis. Siapa "Ummu Sibyan"? Panjang ceritanya. Sila rujuk ilmu perubatan islam.

2. Memandikan bayi dengan air rukyah setiap petang.


3. Memagar rumah dengan air rukyah dan garam serta lada hitam.


4. Memasang ayat al-Quran dan azan ketika dia menangis.

5. Menyembur air rukyah apabila dia mendapat gangguan.

Apa yang dapat saya perhatikan, apabila membuat kaedah rawatan 1, dia akan tenang pada malamnya. Pada malam keesokannya dia akan mendapat gangguan lagi. Maka saya menggunakan kaedah rawatan 1 dan 2. Dia tenang pada malam. Tetapi dia akan mendapat gangguan lagi pada malam seterusnya. Sehinggalah saya membuat kaedah rawatan 1,2,3 dan 4. Namun hasilnya seperti yang lepas-lepas.

Semalam dan hari isteri saya menggunakan kaedah 5, bayi itu akan senyap dan mampu menghisap susu dengan tenang serta matanya tidak lagi dalam ketakutan. Namun gangguan akan datang lagi selepas itu.

Pernah terlintas difikirannya saya, adakah:

1. Kaedah-kaedah yang digunakan tidak berkesan kepada jin tersebut?

2. Hadirnya jin yang lain setelah jin pengganggu pertama lari/musnah?

3. Adanya jin yang degil untuk berhenti mengganggu terutamnya daripada jin saka atau jin pendamping (khadam) yang tinggal dirumah tersebut?

Sehinggakan saya tertanya-tanya sendirian apa lagi ikhtiar yang harus dilakukan untuk menghalang gangguan ini dan apa penyebab gangguan ini masih berterusan? Akhirnya saya berpegang kepada Qada' dan Qadar Allah dan saya yakin ada hikmah disebalik semua ini. Saya juga yakin bahawa semua kaedah yang digunakan memberi kesan kepada jin-jin pengganggu.

Walaubagaimanapun semua ini berlaku adalah kerana :

1. Allah ingin memantapkan lagi ilmu gangguan makhluk halus dan memberikan pengalaman baru dalam menggunakan berbagai-bagai kaedah rawatan. Sebab bila saya hanya menggunakan satu kaedah rawatan sahaja gangguan sudah hilang, maka kaedah lain saya tidak tahu dan tidak mencuba.

2. Melatih saya bersabar dengan ujian Allah yang diberikan serta memohon pertolongan kepada Allah setiap masa.

InsyaAllah. Sesungguhnya semua penyakit itu ada kesembuhan daripada Allah melainkan mati. Kita sebagai hambanya tidak boleh berputus asa untuk berikhtiar dan sedih dengan ujian yang diberkanNya. Janganlah mencari jalan-jalan pengubatan yang boleh mendatangkan kesyirikan semata-mata untuk mencari penyelesaian. Pohonlah pada Allah, mintalah pada Allah melalui doa, ikhtiar dan solat. InsyaAllah.